Friday, November 7, 2008

Caruman KWSP 8 peratus bermula gaji Januari 2009

KUALA LUMPUR – Pengurangan caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibuat secara automatik mulai gaji Januari 2009.

Langkah itu akan dilaksanakan sehingga gaji Disember 2010, demikian menurut KWSP dalam kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, ahli yang ingin mengekalkan caruman kadar 11 peratus boleh mengisi Borang KWSP 17A (AHL).

“Borang yang lengkap diisi perlu dikemukakan kepada majikan untuk diserahkan kepada KWSP,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KWSP juga akan mengeluarkan jadual caruman bulanan yang baru.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lalu mengumumkan langkah mengurangkan kadar caruman itu semasa ucapan penggulungan Kementerian Kewangan untuk Bajet 2009.

Pengurangan kadar berkanun caruman pekerja pernah dilaksanakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2001 dan 2003 sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihaknya hanya akan bersetuju dengan cadangan pemotongan caruman itu jika kerajaan menaikkan caruman bagi pihak majikan.

No comments: